Punca Hanez Suraya Saman MAS
Pelakon drama bersiri ‘Suri’, Hanez Suraya Abdul Aziz, 29, enggan membuka mulut untuk mengulas lanjut mengenai perkembangan kes saman terhadap Sistem Penerbangan Malaysia (MAS). Terdahulu, Hanez memfailkan saman terhadap MAS atas dakwaan mendedahkan tiket penerbangannya bersama Romie Razin Adilha ke Bangkok, Thailand di laman sosial pada April lalu.
“Saya minta maaf kerana saya tidak boleh mengulas mengenai kes yang sedang berlangsung. Saya dinasihatkan oleh peguam untuk tidak memberikan sebarang komen kerana ini melibatkan pihak mahkamah. Saya harap semua pihak tidak mendesak saya,” ujar Hanez membuka bicara.
Selepas kes terbaru Hanez dihebahkan menerusi media, aktres tinggi lampai ini dihujani tohmahan kerana mengambil tindakan untuk memfailkan saman, malah ada pihak yang menuduh Hanez sebagai artis yang suka mengambil tindakan saman secara melulu tanpa berfikir dahulu.
“Ada pihak yang kata saya mahu terus-terusan saman. Seperti yang sudah saya jelaskan sebelum ini, pihak saya telah mengambil inisiatif untuk berbincang dengan pihak mereka selepas gambar tiket itu tersebar dan perkara itu berlangsung selama sebulan.
“Malangnya, saya tidak mendapat kerjasama. Jadi saya teruskan dengan tindakan saman. Justeru itu, kepada mereka yang memberi pendapat negatif begitu, diharap dapat membaca dahulu cerita yang dipaparkan sebelum ini sepenuhnya. Jangan baca tajuk sahaja lalu melemparkan tohmahan kepada saya,” kata Hanez lagi.
Selepas beberapa siri kontroversi yang terpalit dengan Hanez, adakah pelakon drama bersiri ‘Love You Mr. Arrogant’ ini berasa malu apabila timbul isu baru mengenai dirinya?
“Mengenai malu, saya tidak mahu komen. Saya enggan panjangkan isu. Saya mahu berdiam diri. Pedulikan sahaja kerana selepas ini orang akan penat dan diam,” kata Hanez ketika ditemui di persembahan fragmen teater 'Projek Kahwin' di Istana Budaya pada Isnin.
 |
Hanez Suraya |