Abby Abadi Akhirnya Pasrah
Hasrat pelakon Abby Abadi yang masih menanti sinar agar dia dan Muhammad Noor Farhan Che Bakar, 24, kembali rujuk terpaksa dilupakan kerana perkara itu tidak mungkin berlaku.Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan, 37, dalam status terbaharu Instagram miliknya berkata, sekiranya perkara itu terjadi, ia merupakan satu keajaiban kepadanya.
“Apa yang boleh saya katakan kalau berbaik memang ‘keajaiban’ berlaku. Jika sebaliknya, Allah lebih mengetahui apa yang diatur untuk saya. Saya reda,” ujarnya dalam kapsyen status berkenaan.Menerusi Instagram itu Abby turut memuat naik gambar lukisan anak keduanya iaitu Marissa Dania Hakim, 9, yang menggambarkan hubungan cinta ibunya dengan Muhammad Noor Farhan dahulu dan terkini.
![]() |
Abby Abadi |
Sebelum ini Abby turut memuat naik rakamkan video anak-anaknya yang menuntut agar Muhammad Noor Farhan yang dipanggil Abi agar pulang ke rumah.
Dalam pada itu Abby berkata, Dania ada memberitahu bermimpikan bapa tirinya.
Sebaliknya Abby berkata, dia dapat rasakan Farhan lebih bahagia di luar sana dan dia tidak meletakkan apa-apa harapan lagi terhadap rumah tangga mereka.
Abby juga turut mengulas lukisan yang dimuat naik dalam Instagramnya itu adalah hasil tulisan tangan anaknya dan bukan dia yang berbuat demikian untuk meraih simpati terhadap pemuda itu.
Malah Abby turut menjelaskan, perkahwinannya dengan Farhan bukanlah paksaan mana-mana pihak sebaliknya atas kehendak mereka berdua.
“Benda ni baru sangat takkan saya takde perasaan boleh lupa terus sekelip mata. Saya reda, tiada jodoh itu kuasa Dia. Saya tak pertikai pun,” ujarnya membalas komen pengikut laman sosialnya itu.Terdahulu Muhammad Noor Farhan dilaporkan telah melakukan dua kali lafaz cerai terhadap Abby termasuklah salah satunya tidak dimaklumkan kepada mahkamah.