Tuesday, 15 July 2014

'The Red Warriors' Difilemkan, Telan Belanja RM2 Juta

Bagi anda yang meminati sukan bola sepak tempatan tentu sahaja tahu kejayaan yang dikecap pasukan yang mendapat jolokan 'The Red Warriors' iaitu pasukan negeri Kelantan.  Tapi mungkin ramai juga yang tidak tahu sejarah dan jatuh bangun gergasi bola sepak Pantai Timur ini.

Bertitik tolak dari kebangkitan yang ditonjolkan selepas menjadi pasukan tercorot liga Malaysia selama beberapa tahun, pihak penerbitan U2 Media Sdn Bhd dengan kerjasama The Red Warriors (TRW) sendiri bersatu menerbitkan filem 'The Red Warriors The Movie'.

Berkisarkan semangat, kerjasama dan liku-liku yang dilalui TRW, menjadi wadah kepada penyampaian dan jalan cerita filem yang dilakonkan oleh pemain TRW sendiri serta beberapa bintang lain seperti Pekin Ibrahim, Nadiya Nisaa, Bell Ngasri, Amir Raja Lawak dan ramai lagi.

"Salah satu sebab kenapa saya nak terbitkan filem ini adalah untuk memberi inspirasi kepada remaja dan semua masyarakat amnya tentang nilai dan pengajaran yang wujud di dalam pasukan TRW ini.

"Dari pasukan tercorot liga sehinggalah mereka bangkit sekitar tahun 2010 sehingga kini, banyak trasformasi yang sudah ditunjukkan.  Semangat untuk maju itu membuatkan saya terpanggil untuk menerbitkan filem berkenaan pasukan ini.

"Dari sudut lain saya merasakan kebangkitan TRW dan sukan bola sepak di Malaysia berjaya menyatukan semua aspek tidak kira budaya, perbezaan politik, agama dan bangsa," ujar Ann Mokhtar selaku Penerbit Eksekutif 'The Red Warriors The Movie'.

Filem yang menelan belanja keseluruhan hampir RM2 juta ini menyaksikan kemunculan beberapa bintang ternama pasukan TRW yang turut berlakon dengan membawakan watak masing-masing.

"Disebabkan filem ini berkisarkan pasukan TRW, jadi kebanyakan babak juga melibatkan beberapa pemain TRW seperti Apex, Wan Zack Haikal dan ramai lagi.  Mereka melakonkan watak diri masing-masing, jadi tidak timbul kesukaran di situ.

"Tidak hanya itu, pihak produksi juga turut memilih barisan pelakon popular tanah air bagi sebagai bentuk komersial iaitu Pekin, Nadiya Nisaa, Amir Raja Lawak, Shuk Balas dan ramai lagi," tambah Ann lagi.


Harap Diterima

Filem yang mengambil masa selama sebulan untuk proses penggambaran ini bakal menjengah ke seluruh pawagam tanah air pada bulan April atau Mei tahun hadapan.  Dan tinggi harapan pihak penerbitan untuk menyaksikan filem ini menjadi filem pecah panggung.

"Filem ini sesuai untuk semua peringkat umur.  Harapan saya semoga filem ini akan diterima oleh masyarakat dan industri khususnya.  Saya juga mengharapkan agar filem ini nanti mendapat sokongan daripada pihak kerajaan dan pihak berkaitan.  Paling penting juga, semoga filem ini menjadi filem pecah panggung," tambah Ann lagi.


Kisah Benar

selain memaparkan jalan cerita yang menyaksikan perlawanan antara TRW dengan beberapa pasukan lain, filem yang menjalani penggambaran di beberapa lokasi seperti Larkin, Pulau Pinang, Gerik dan Kota Bharu ini turut menyelitkan sebuah kisah benar yang terjadi melibatkan pasukan TRW.

"Terdapat satu babak di mana melibatkan Wan Hassan lakonan Pekin yang menjadi dalang kepada rusuhan di hadapan stadium.  Dan babak itu adalah kejadian sebenar yang berlaku pada tahun 2009 melibatkan penyokong TRW," ujar Ann lagi.


Kredibiliti Pengarah 

Menggunakan khidmat Saw Teong Hin selaku pengarah, filem ini juga perlu mengikuti jadual perlawanan dan latihan pasukan TRW bagi babak yang melibatkan perlawanan bola sepak.

"Saya terima mengarah filem ini kerana genre dan temanya lain daripada yang lain.  Tiga filem saya sebelum ini juga semuanya berbeza genre.  Tidak banyak kesukaran yang ditempuh selain perlu mengikuti jadual dan latihan pasukan TRW.

"Lain-lain semuanya OK termasuklan pemain TRW yang perlu berlakon di dalam filem ini.  Mulanya saya ingat mereka akan kaku di depan kamera, tetapi mereka boleh berlakon," kongsi Teong Hin yang pernah mengarah filem 'Puteri Gunung Ledang'.


Comments
SafelinkU | Shorten your link and earn money