Intan Ladyana Enggan Bersemuka Kamal Adli
Pelakon Intan Ladyana atau nama sebenarnya Intan Nurladyana Mohamad Yahaya, 32 menegaskan tidak perlu bersemuka dengan Kamal Adli bagi membincangkan mengenai hubungan mereka yang sudah tiada apa-apa kaitan lagi.
Ujarnya, sebelum berpisah, dia telah pun menjelaskan sebab-sebab mengapa hubungan mereka perlu diputuskan.
"Saya rasa, tiada apa yang perlu dibincangkan lagi kerana ia sudah dibuat sebelum kami putus.
"Nak ikutkan... saya dah malas nak cakap tentang perkara ini kerana ia sudah pun selesai," katanya.
Dalam program Melodi (siaran TV3) Ahad lalu, Kamal meluahkan rasa kesal apabila hubungannya dengan Intan terputus begitu sahaja dan berharap agar dapat kembali menjalinkan hubungan semula dengan aktres itu.
Kamal sehingga kini tidak dapat menerima kenyataan bahawa mereka sudah tiada apa-apa ikatan setelah selama enam tahun menjalinkan hubunga cinta dan berharap Intan dapat bersemuka dengannya bagi membincangkan isu ini.
Keputusan untuk berpisah diambil atas persetujuan dua belah pihak pada akhir Ramadan lalu.
Intan mendedahkan isu ini pada 25 Ogos lalu tanpa mengulas lanjut berkenaan sebab-sebab berakhirnya hubungan cinta mereka kerana is terlalu peribadi.
"Tak payahlah saya nak menjaja cerita tentang cinta yang tidak kesampaian ini, bukannya orang suka dengar pun.
"Perkara ini melibatkan saya dan dia, jadi biarlah kami sahaja yang tahu sebab-sebab hubungan ini putus," ujarnya.