Liyana Jasmay : Suatu hari nanti saya akan bertudung
DAMANSARA: Melihat kepada jemputan ke acara pelancaran jubah Bella Liyana serta sedutan klip video Liyana Jasmay mengenakan rangkaian jubah serta tampil bertudung, timbul persoalan apakah ibu kepada Sofia Arissa ini sudah berhijrah.
Menjawab persoalan itu, Liyana bagaimanapun menafikan beliau sudah berhijrah seperti dilakukan sebahagian artis tanah air.
Tetapi sebagai berstatus isteri serta ibu, beliau yakin pada suatu hari nanti beliau pasti akan bertudung juga.
"Insya-Allah apabila sampai masa, pastinya saya akan pakai tudung. Kakak saya, Adriana Jasmay menjadi contoh terdekat tampil bertudung memenuhi tuntutan sebagai wanita Islam.
"Kakak saya sendiri memakai tudung dari suka-suka sejak Ramadan dan terus melekat sehingga sekarang. Kalau boleh saya pun nak jadi macam itu.
"Malah ruang bekerjasama dengan jubah Bella Liyana ini pun membawa kepada kebaikan mengajak wanita tampil berpakaian sopan. Bukan saja untuk wanita bertudung, malah jubah ini pun boleh digayakan wanita yang tak bertudung kerana rekaannya pada bahagian atas baju sangat menarik," katanya.
Menurut Liyana kerjasama sulung beliau dengan pemilik butik Ammara bermula sejak dua minggu lalu.
"Kakak saya antara penggemar jubah beliau. Nak dijadikan cerita, saya dan kakak secara tak sengaja bertemunya di butik dan daripada situ dia mengajak menjalinkan kerjasama ini. Insya-Allah siapa tahu jika dapat sambutan akan ada kerjasama seterusnya pula.
![]() |
GAMBAR terkini Liyana Jasmay (kiri) bersama pemilik butik Bella Ammara. |
"Jubah Bella Liyana ini mempunyai 10 warna berbeza seperti hijau emerald dan merah jambu. Di atas jubah ini ada jahitan gabungan 'tweed lace' dan 'beadswork Swarovski'.
"Ia agak ringkas tapi mewah," katanya sambil memberitahu jubah itu dijual pada harga RM294 dan boleh didapatkan di Butik Bella Ammara di Shah Alam serta secara online tidak lama lagi.
Dalam perkembangan lain, selepas menubuhkan syarikat produksi Mermaid Studios, Liyana dan kakaknya sedang merancang untuk membuka kedai jualan dipanggil Mermaid Store.
"Kedai ini akan dibuka di Desa Melawati sekitar November hadapan yang menjual pelbagai barangan dari keperluan rumah sehinggalah ke fesyen. Kami juga mengalu-alukan sesiapa termasuk teman yang mahu melelong barang terpakai atau menjual rangkaian jenama mereka.