Neelofa tiru tudung?
Dunia seni kebelakangan ini agak panas dengan bermacam-macam kontroversi melibatkan para artis tempatan.
Belum sempat isu penyanyi remaja Shila Amzah, 24 yang gagal menjernihkan hubungan dengan pihak media Melayu reda, terbaharu isu pengacara jelita, Neelofa yang dituduh meniru rekaan tudung seorang designer.
Isu ini tercetus apabila pemilik nama Noor Neelofa Mohd Noor ini memuat naik video tutorial cara menggayakan tudung rekaan syarikatnya, Neelofar Hijab di laman sosial Instagram miliknya.
Bagaimanapun, seorang individu telah menulis komen mendakwa rekaan tudung tersebut adalah miliknya.
Lebih memburukkan keadaan, selepas komen tersebut ditinggalkan, juara Dewi Remaja 2009/10 ini dikatakan telah menyekat akaun Instagram pemilik rekaan tudung tersebut daripada menjadi pengikutnya.
Rentetan isu ini, pemilik rekaan tersebut tampil membuat kenyataan di sebuah portal berita tempatan dan meminta Neelofa membuat penjelasan mengenai perkara itu.
Mungkin Neelofa mempunyai alasan tersendiri berkenaan isu hangat ini, apa pun diharapkan teraju utama filem Lemak Kampung Santan ini tidak terus berdiam diri.